Pertandingan Kampung Lestari Peringkat Daerah Penampang dilancarkan

Jannie (tengah), Jenifer (10 dari kanan) dan Honorsius (8 dari kanan) bersama tetamu lain dimajlis itu

Oleh: Nio James
….semua kampung DUN Kapayan, DUN Moyog diwajibkan untuk menyertai pertandingan ini

PENAMPANG: Majlis Daerah Penampang (MDPg) dengan kerajasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan dan Pejabat Adun Moyog akan menganjurkan Pertandingan Kampung Lestari Peringkat Daerah Penampang.

Pengerusi Penganjur, Honorsius Datuk Alfred Bosuin berkata, tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk menjadikan Daerah Penampang bersih, ceria, cantik dan hijau.

“Melalui program ini, kita berharap akan dapat melihat perubahan positif di Daerah Penampang iaitu lebih bersih, ceria, cantik dan hijau, seiring dengan persiapan Daerah Penampang menganjurkan Tahun Melawat Penampang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran serentak Pertandingan Kampung Lestari Peringkat Daerah Penampang dan Program Buhavan Bebas Asap Rokok, bertempat di Buhavan Square, Donggongon, disini pada Isnin.

Ia disempurnakan oleh Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah merangkap Adun Kapayan, Jannie Lasimbang.

Honorsius berkata, pertandingan ini dibahagikan kepada tiga (3) kategori iaitu, Kapayan, Upper Moyog dan Lower Moyog.

“Kita amat menghargai komitmen, sokongan dan persetujuan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking, Jannie Lasimbang, Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi merangkap Adun Moyog Jenifer Lasimbang, untuk menjayakan program ini.

Jannie (3 dari kanan) menyempurnakan majlis pelancaran serentak Program Buhavan Square Bebas Asap Rokok dan Pertandingan Kampung Lestari Peringkat Daerah Penampang, di Buhavan Square, Donggogon Penampang. Turut kelihaatan Honorsius (3 dari kiri) dan Jenifer (2 dari kiri).

Dimajlis itu, diadakan upacara penyerahan borang pertandingan kepada 10 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan disampaikan oleh Jannie dan 42  MPKK dari kawasan DUN Moyog oleh Jenifer.

Semua kampung di kawasan DUN Kapayan dan DUN Moyog diwajibkan untuk menyertai pertandingan ini yang akan berlangsung selama satu (1) tahun.

Kampung-kampung yang menyertai pertandingan ini digalakkan  untuk membuat aktiviti-aktiviti berkaitan kebersihan, keceriaan, kecantikan dan kehijauan sepertimana tujuan program ini.

Penilaian aktiviti-aktiviti berkenaan akan dibuat oleh para penilai professional yang dilantik oleh jawatankuasa penganjur apabila pertandingan ini genap satu (1) tahun. Pemenang akan menerima hadiah yang disediakan oleh jawatankuasa penganjur.

Sementara itu, Honorsius berkata, pelancaran Program Buhavan Square Bebas Asap Rokok merupakan aktiviti JCI Intan Penampang dan Jabatan Kesihatan Malaysia Cawangan Penampang dengan kerjasama MDPg.

Katanya, program ini diadakan untuk menyahut seruan Kerajaan Negeri Sabah untuk mematuhi peruntukan Peraturan 11 (1)(D), Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Katanya, setakat ini, beberapa kawasan tempat di Bandar Donggongon yang telah diwartakan sebagai zon bebas asap rokok ialah Taman Tugu Datuk Peter Mojuntin dan Taman Pekan Donggongon yang bersebelahan dengan pasar awam.

“Selaku pelaksana program ini, kita komited untuk memastikan kawasan premis di Buhavan Square bebas daripada asap rokok khasnya Bandar Donggongon sebagai satu kawasan yang bebas daripada rokok menjadi kenyataan demi kesihatan dan kesejahteraan orang awam di Daerah Penampang.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada JCI Intan Penampang yang diketuai oleh JCI Dina Anna Peter Marius atas usaha mereka melaksanakan projek Healthy City Setup yang telah bermula sejak tahun 2018, di mana salah satu objektifnya ialah Bebas Asap Rokok.

Katanya, pelaksanaan projek tersebut adalah salah satu sokongan inisiatif berkaitan Article 8 World Health Organisation (WHO) Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) yang bertajuk Perlindungan Dari Pendedahan Kepada Asap Tembakau.

Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang telah bekerjasama untuk mengadakan pameran sempena program ini diadakan.

Beliau berharap semua MPKK akan mengambil peluang dari penganjuran program ini untuk membuat jaringan kerjasama dengan mereka yang terbabit dalam program ini.

“Hubungilah mereka dan jemputlah mereka ke kampung masing-masing untuk membantu kalian sekiranya ingin mengadakan aktiviti-aktiviti kesedaran berkaitan dengan program ini,” katanya.

Di majlis itu juga,  Honorsius yang juga Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD) mengumumkan sumbangan 1000 pokok Moringa Oleifera iaitu sejenis tanaman yang mengandungi khasiat pemakanan yang tinggi untuk ditanam oleh MPKK kampung-kampung yang terbabit dengan program ini. Hasil tanaman ini boleh dijualkan kepada KPD yang merupakan pengeluar produk Teh Moringa Borneo di Sabah.

Jenifer (3 dari kanan) menyampaikan borang Pertandingan Kampung Lestari Peringkat Daerah Penampang kepada salah seorang MPKK DUN Moyog

Turut hadir Adun Dilantik merangkap Pengerusi Cement Industries Sabah Sdn Bhd Terrence Siambun, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia merangkap Pengerusi Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia Dato Seri Dr. Chen Chaw Min, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi, Pegawai Daerah Penampang merangkap Pengerusi Majlis Daerah Penampang Encik Henry Idol,  Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Penampang Tang Yang Ming dan Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah P.174 Penampang Jeffrey Leiking, Ahli-ahli Majlis Daerah Penampang, Ketua Daerah Penampang Johnny Molijoh, Pemimpin Pembangunan Masyarakat, (PPM) DUN  Kepayan Cyril Liew dan PPM Moyog Benjamin Soikun.