PESERTA DARI NEGARA ASEAN SERTAI PROGRAM EKOPELANCONGAN DI KINABATANGAN

KINABATANGAN: Dua puluh lima peserta dari negara ASEAN berkumpul selama empat hari di sini menghadiri Program Rangkaian Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia Pelancongan ASEAN (ATRM) selama empat hari bagi ekopelancongan di sini bermula hari Isnin.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Haslina Abdul Hamid (gambar) berkata ekopelancongan telah menjadi segmen yang semakin meningkat dalam industri pelancongan global dan memainkan peranan penting dalam mempromosikan pelancongan mampan.  

“Ia (ekopelancongan) menyumbang secara positif kepada kesejahteraan alam sekitar, sosial, budaya dan ekonomi destinasi dan komuniti tempatan di seluruh dunia.

“Menurut Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), ekopelancongan, alam, warisan, budaya dan pengembaraan dijangka berkembang pesat selama dua dekad akan datang,” katanya pada majlis perasmian program itu kelmarin.

Haslina juga berkata 35 peratus pelancong yang melawat Malaysia terlibat dalam kegiatan berkaitan ekopelancongan seperti mendaki, menyelam, snorkeling, pencerapan burung, meneroka gua dan memancing yang menunjukkan ekopelancongan sememangnya popular dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke Malaysia.

Mengenai Program ATRM, Haslina berkata ia bertujuan berkongsi pengalaman dan kepakaran Malaysia mengenai amalan terbaik dalam ekopelancongan dan juga menyediakan platform untuk perbincangan dan keterlibatan kalangan wakil negara anggota ASEAN.

“Saya difahamkan selain berkongsi pengetahuan dengan penceramah jemputan, peserta juga akan didedahkan kepada aktiviti praktikal seperti pemuliharaan hutan dan tasik, pengalaman hidupan liar serta projek voluntourism (sukarelawan pelancongan), iaitu melukis mural,” katanya.

Haslina berkata Malaysia akan terus menyokong inisiatif ASEAN untuk membangunkan sektor pelancongan di rantau ini berdasarkan Pelan Strategik Pelancongan ASEAN 2016-2025.

Beliau juga berkata Program ATRM adalah sejajar dengan usaha kerajaan dalam mempromosikan Sabah sebagai destinasi ekopelancongan, yang kaya dengan sumber alam semula jadinya dan kepelbagaian budaya.

Selain itu, beliau berkata Malaysia sedang meningkatkan promosinya pada tahun ini sebagai persediaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, kempen yang menyasarkan ketibaan 30 juta pelancong antarabangsa dan RM100 bilion dalam perolehan pelancongan.