KOTA KINABALU: Datuk Peter Anthony masih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap sehingga tamat tempoh 14 hari bermula dari tarikh berkuatkuasa hukuman penjaranya, iaitu semalam.
Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, berkata Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu masih boleh menggunakan saluran undang-undang yang ada bagi mengekalkan kedudukannya sebagai ADUN.
“Secara teknikal, kerusi (DUN Melalap) tidak kosong kerana di bawah peruntukan (undang-undang) ada lagi 14 hari untuk beliau (Peter) menghabiskan semua saluran undang-undang yang ada.
“Jadi, terpulang kepada beliau untuk menghabiskannya dalam tempoh 14 hari. Jika tempoh 14 hari itu tamat dan beliau sudah menghabiskan semua saluran undang-undang, maka kerusi itu akan dikosongkan,” katanya pada sidang media di DUN Sabah, di sini, hari ini.
Semalam, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap gagal dalam rayuan akhirnya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.
Ia berikutan keputusan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin yang bersidang semalam mengekalkan hukuman terhadap bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu.
Sabitan itu diputuskan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022 selepas Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didapati bersalah atas pertuduhan memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.
Kadzim berkata, mengikut Perkara 17 (1) (e) di bawah Perlembagaan Negeri Sabah, mana-mana ADUN yang disabitkan atas kesalahan oleh Mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000 akan hilang kelayakan sebagai ADUN. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ