Polis Sabah rampas dadah RM3 juta, tahan dua transporter

KOTA KINABALU: Sindiket pengedaran dadah tumpas berikutan penahanan dua lelaki disyaki sebagai ‘transporter’ dadah yang membawa kepada rampasan sebanyak 63.55 kilogram (kg) dadah jenjs syabu yang dianggarkan bernilai RM3 juta.

Kedua-dua suspek berusia 30 dan 33 tahun ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah di kawasan parkir hadapan sebuah pasar raya di Penampang, kira-kira jam 9 malam, 27 Februari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kedua-dua suspek ditahan di dalam kereta Toyota Land Cruiser ketika berada di kawasan parkir pasaraya berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan, polis menemui empat kotak besar berisi bungkusan dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 63.55 kilogram.

“Semua dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui perkhidmatan udara dari semenanjung Malaysia sebelum cuba diseludup ke negara jiran.

“Pasukan operasi turut merampas wang tunai sebanyak RM899, barang kemas, jam tangan mewah, tiga kereta Mercedes Benz dan Audi A5 dan Toyota Land Cruiser dan keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan sebanyak RM3.24 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati, kedua-dua suspek negatif dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Katanya, pihak polis percaya kedua-dua suspek hanya bertindak sebagai transporter kepada dadah berkenaan dengan menerima upah daripada sindiket.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman sehingga 7 Mac depan,” katanya. – Info X