PGA rampas barang seludup RM2.4 juta

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah berjaya merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM2.44 juta dan menahan 19 individu dalam 12 serbuan berasingan, baru-baru ini.

Operasi yang dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota PGA Briged Sabah selama 14 hari yang berakhir 14 Mac lalu itu dijalankan di beberapa daerah antaranya Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu serta Telupid.

Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, serbuan pertama dijalankan pada 5 Mac lalu, di Kampung Gambaron, Telupid dan berjaya menahan seorang individu.

Katanya, dalam operasi berkenaan, pasukan operasi mengesan aktiviti menyimpan pelbagai makanan sejuk beku seludup.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak DM1.34 juta dan disiasat mengikut
Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan Sabah 2015,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Abdul Rani berkata, serbuan kedua dijalankan di Kampung Wassai, Jalan Entilibon-Tongod, Telupid pada 12 Mac lalu.

Katanya, seorang individu ditahan selepas dikesan memiliki pelbagai jenis bunga api dan mercun.

“Pasukan operasi turut menyita sebuah lori dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM252,533.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Menurutnya, serbuan ketiga dijalankan di Jalan Lama Penampang- Papar dan merampas minyak diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM222,350.

Katanya, pasukan serbuan berjaya menahan seorang individu dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Operasi keempat dilaksanakan di kawasan laut Tanjung Pasir, Sandakan, dan merampas minyak diesel bernilai RM141,997.

“Tiga individu berjaya ditahan dalam serbuan ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rani berkata, serbuan terakhir dijalankan di daerah Lahad Datu dan menahan tiga individu selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan rokok.

Katanya, pasukan operasi berjaya merampas pelbagai jenis rokok dan kenderaan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti berkenaan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM126,340 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Menurutnya, bagi pecahan tahanan, ia melibatkan lapan warga tempatan, tujuh Filipina, empat warga Indonesia dan tiga warga Pakistan. – Info X