PGA TAHAN LIMA SASPEK, RAMPAS 14.5 GRAM SYABU

Syabu yang dirampas oleh pasukan PGA Batalion 14 di Batu 2 Kalabakan pada Rabu

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 berjaya menahan lima saspek warga asing dan merampas 14.5 gram syabu dalam serbuan terhadap sebuah rumah tidak bernombor di Batu 2, Kalabakan dekat sini awal pagi Rabu.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 14, Supt Mustapha Othman, sepasukan anggota PGA diketuai ASP G.Shankar telah melakukan operasi tersebut lebih kurang jam 1 pagi berdasarkan maklumat yang diterima.

“Ketua Operasi telah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis kepada seorang lelaki yang berada di beranda rumah dan pemeriksaan ke dalam rumah tersebut mendapati tiga lagi lelaki dan seorang perempuan tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” kata Mustapha.

Kesemua saspek, yang berumur lingkungan 40 hingga 48 tahun, cuba melarikan diri tetapi berjaya juga dicekup oleh pasukan polis selepas berlaku pergelutan, tambah beliau.

Pemeriksaan badan terhadap empat saspek lelaki pula tidak menemui sebarang barang salah tetapi pemeriksaan lanjut di dalam rumah yang disaksikan semua saspek menjumpai 25 paket lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki syabu,”kata Mustapha..

Pasukan PGA Batalion 14 turut merampas wang tunai yang berjumlah RM 2,150 semasa serbuan

Syabu tersebut diletak di atas meja kecil di dalam sebuah bilik rumah dan wang tunai berjumlah RM2,150 dipercayai hasil wang penjualan syabu telah rampas, katanya lagi.

Kesemua tangkapan dan rampasan yang dianggarkan berjumlah RM4,150 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.