PGA Tawau gagalkan cubaan seludup 500 kotak minyak masak

TAWAU: Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau menumpaskan aktiviti penyeludupan barang kawalan minyak masak dengan nilai rampasan berjumlah RM270,250 dalam operasi di sebuah premis di Jalan Apas, Batu 3½, di sini, Sabtu lalu.

Rampasan menerusi ‘Op Taring Bravo 2’ dijalankan berdasarkan maklumat dan risikan Pasukan Task Force Perisikan Batalion 14 PGA.

Hasil serbuan, dua individu warga tempatan turut ditahan dan sejumlah besar barangan kawalan iaitu 500 kotak minyak masak dan setiap kotak mengandungi 17 peket (1 kilogram).

Minyak masak yang disyaki cuba diseludup dirampas pasukan Batalion 14 PGA Tawau.

Turut dirampas sebuah lori tiga tan dan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM270,250.

Semua Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tawau.

Komander PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner, Datuk Abdul Rani Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.

“Siasatan masih diterus bagi mengenal pasti dalang aktiviti penyeludupan barang kawalan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan,” katanya. – Info X