LAHAD DATU: Tiada sebarang kes penculikan direkodkan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) dalam tempoh lima tahun sejak 15 Januari 2020.
Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos berkata, operasi berterusan akan dilaksanakan bagi mengumpul maklumat sekiranya ada percubaan untuk menculik bagi tujuan tebusan.
“Ketika ini, kita tidak ada maklumat (penculikan), kita harapkan keadaan ini kekal. Sudah tentu kalau ada maklumat pasukan ESSCOM dan juga rakan-rakan strategik yang lain akan berusaha untuk mengekang di rangka awal supaya tidak berlaku.
“Tapj setakat ini tiada cubaan penculikan dan berdasarkan statistik semasa keseluruhan Operasi Sanggah yang dikoordinaskan oleh ESSCOM, tiada insiden penculikan berlaku sejak 15 Januari 2020 hingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Acara Perbarisan Sambutan Ulang Tahun ke-12 ESSCOM di Dewan Pasukan Polis Marin Lahad Datu, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, ESSCOM turut menyampaikan sijil penghargaan kepada semua rakan strategik termasuk agensi-agensi media di Pantai Timur Sabah.
Sementara itu, beliau berkata ESSCOM juga memeriksa lebih 1.3 juta secara fizikal terhadap orang, kenderaan dan bot yang dilaksanakan bermula 1 Januari 2024 sehingga 31 Disember 2024.
Katanya, daripada pemeriksaan itu, sebanyak 536 individu ditahan dan 227 kenderaan serta bot dirampas oleh pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan.
“Manakala 97 pendatang asing tanpa izin (Pati) bersama sejumlah 44 kapal dan bot yang cuba masuk secara haram melalui kawasan sempadan perairan negara diusir oleh pasukan keselamatan.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan untuk tempoh yang sama juga, melebihi RM24 juta dan nilai rampasan tertinggi daripada penyeludupan rokok serta barang kawalan dengan nilai RM18 juta.
“Selain itu, nilai rampasan dadah dan barang milik Pati masing-masing menyumbang kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM6 juta.
“Kita akan teruskan dan perkukuhkan pemeriksaan-pemeriksaan ini bagi meyakini kawasan ini supaya komuniti Sabah Timur ini yakin bahawa keselamatan mereka adalah keutamaan kita,” katanya. – Info X
More Stories
Terima rasuah babitkan Rumah Mesra SMJ, Pegawai Kemajuan Masyarakat ditahan SPRM
623 Pati Filipina dihantar pulang
KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan