KOTA KINABALU, 19 April – Pakatan Harapan (PH) akan memastikan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani bersama Kerajaan Pusat dikekalkan sehingga sekurang-kurangnya 31 Julai ini.
Menurut Pengerusi PH, Dato Seri Anwar Ibrahim, pihaknya turut bersedia untuk mengadakan perbincangan bersama Putrajaya sekiranya terdapat sebarang hasrat untuk meneruskan kerjasama lanjut.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu Umno bahawa mereka perlu menerima kenyataan perjanjian MoU tersebut bukanlah dengan parti itu tetapi adalah antara PH dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
“Perundingan itu adalah dengan perdana menteri dan pasukan dia.
“Umno boleh bagi pandangan mereka. Bagaimanapun, Umno dengan 40 kerusi BN itu, dia anggap dia sebagai (parti) pemerintah dia tentukan semua.
“Saya nak nasihatkan mereka bahawa dalam mana-mana kerajaan, kita perlu lihat kekuatan kita dan harus terima kenyataan bahawa rundingan itu antara PH dengan PM,” jelasnya.
Pengerusi gabungan pembangkang itu menjawab keputusan pemimpin tertinggi Umno bahawa MoU antara Kerajaan Persekutuan dan pimpinan BN dan PH tidak akan dilanjutkan lagi selepas Julai ini.
Menurut Fasal 2.1 MoU, perjanjian itu kekal berlangsung sehingga pembubaran parlimen, dan Putrajaya telah berjanji tidak akan membubarkan parlimen sehingga sekurang-kurangnya 31 Julai ini, untuk memberi ruang pelaksanaan pelbagai pembaharuan yang diminta oleh PH.
Sebagai pertukarannya, pembangkang tidak akan menghalang agenda utama kerajaan.
Berikutan keputusan Majlis Tertinggi Umno, Perdana Menteri mengatakan bahawa dia akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti agar MoU itu tamat pada 31 Julai ini.
Sementara itu, Anwar mengatakan bahawa pilihan raya umum tidak semestinya akan tercetus sekiranya MoU itu tidak lagi diteruskan.
“MoU saya jelaskan, kita akan pastikan sehingga akhir Julai dan berunding kalau ingin diteruskan.
“Belum pasti kalau dengan tidak adanya itu aka nada pilihan raya. Ini terpulang dengan pendirian parti kerajaan dengan parti pembangkang, apakah keutamaan kita,” jelasnya lagi.
More Stories
Konvensyen UPKO untuk permerkasaan parti dan perjuangan rakyat: Ketua Penerangan
STAR, PBS dijangka tandatangani MoU Khamis ini
Saya masih Pengerusi PKR Sabah yang sah – Sangkar Rasam