KOTA KINABALU, 26 Mac — Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan semalam mengalu-alukan semangat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam memperjuangkan perolehan 40% di Sabah.
Bagaimanapun, PH Sabah menjelaskan bahawa tempoh sebulan akan diberi bagi memastikan semangat tersebut bukan sekadar retorik politik dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya gagal.
“PH Sabah tidak mahu melihat ianya hanya menjadi satu retorik politik dan memberikan tempoh satu bulan kepada Kerajaan Sabah untuk mendapatkan perolehan hasil sepertimana dalam Perkara 112 C&D Perlembagaan Persekutuan, iaitu berdasarkan formula 40% atau rundingan yang lebih baik.
“Jika Kerajaan Sabah gagal mendapatkan semula perolehan hasil berdasarkan formula 40% tersebut dalam tempoh sebulan, PH Sabah, khususnya Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri kami, tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke mahkamah untuk mencabar perkara ini.
“PH Sabah berpendapat jika benar ada warta kerajaan yang dirahsiakan daripada rakyat Sabah berhubung pemberian hasil 40% tersebut dan dibuat semasa tempoh darurat, ia merupakan satu bentuk penipuan ke atas pembentukan Negara Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963,” jelas kenyataan tersebut.
Susulan dari itu, PH Sabah akan mengadakan forum bersama pengamal-pengamal perundangan serta rakyat Sabah bagi sesi bicara mengenai Perkara 112C dan 112D tersebut serta isu-isu lain yang berkaitan.
Kenyataan tersebut turut ditandatangani oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Datuk Christina Liew, Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah Datuk Frankie Poon dan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah Lahirul Latigu.
More Stories
Kebakaran dapur di Kedai Lama Papar hasil tindakan pantas Bomba
Labuan dikenal pasti sebagai hab global industri tuna – Zaliha
JANS digesa peka aduan gangguan bekalan, masalah tekanan air rendah