PH DAPAT SOKONGAN MAJORITI?

KOTA KINABALU: Beberapa jam selepas pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, Pakatan Harapan (PH) kini mendakwa telah mempunyai 114 sokongan ahli parlimen yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terbaru, Ahli Parlimen Selangau yang juga sebelum ini daripada kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Baru Bian menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menyokong Mahathir.

Upacara menandatangani SD itu turut disiarkan secara langsung di Facebook Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Turut kelihatan dalam video berkenaan ialah beberapa pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan parti itu sebelum ini juga menyatakan sokongan mereka kepada Mahathir.

Selain Warisan, sekutunya UPKO juga menyatakan sokongan mereka kepada Mahathir selepas mesyuarat tergempar parti itu yang dipengerusikan presidennya, Datuk Wilfred Madius Tangau.

Terdahulu beberapa jam lalu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempersoalkan dakwaan yang mengatakan 36 ahli parlimen parti mereka menyokong Muhyiddin Yassin.

Sedangkan, katanya, enam ahli parlimen Bersatu menyokong Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata enam ahli parlimen itu adalah dirinya, Mahathir, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith, dan Ahli Parlimen Kubang Pasu Amirudin Hamzah.

“Bohong menjadi PM?” katanya dalam catatan di Facebook.

Kenyataan Mukhriz itu turut disertakan dengan satu kenyataan media semalam yang menyatakan bahawa Bersatu menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri dan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang “dihadiri oleh 36 ahli parlimen”.

Muhyiddin dijangka mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada jam 10.30 pagi, namun dengan keadaan sekarang terutama dakwaan PH yang memiliki 114 sokongan MP, apa-apa pun boleh berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *