UPKO KONSISTEN, PERTAHANKAN MANDAT RAKYAT

PENAMPANG: UPKO menyatakan pendirian mereka menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus menerajui Kerajaan bagi mempertahankan mandat yang diberikan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perkara itu sebulat suara dipersetujui Majlis Tertinggi UPKO dalam mesyuarat tergempar parti yang dipengerusikan Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau di Ibu Pejabat UPKO, di sini, pagi tadi.

“Pagi tadi saya telah mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UPKO di Ibu Pejabat UPKO untuk membuat pendirian berkenaan krisis kepimpinan Kerajaan Persekutuan.

“UPKO tidak mahu pergolakan ini berterusan lebih lama.

“Mesyuarat mengambil maklum bahawa UPKO konsisten, selari dengan keputusan kami pada 10 Mei 2018, sehari selepas pilihan PRU14, di mana UPKO meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah serta PH untuk membentuk kerajaan campuran Sabah yang baru.

“Majlis Tertinggi UPKO sebulat suara menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad agar terus menerajui Kerajaan untuk mempertahankan mandat yang diberikan kepada PH oleh majoriti rakyat Malaysia dalam PRU14,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *