PH gesa PM junjung titah Agong supaya cepat-cepat kasi nasihat panggil Parlimen bersidang

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yasssin segera menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen, menyahut kenyataan Istana Negara hari ini bahawa dewan perundangan itu boleh bersidang semasa darurat.

Istana Negara dalam kenyataan petang tadi memaklumkan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berpandangan Parlimen boleh bersidang pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai olehnya atas nasihat perdana menteri.

“Perdana menteri perlu menjunjung titah,” katanya kenyataan yang ditandatangani tiga pemimpin utama gabungan pembangkang itu, iaitu Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Majlis itu menggesa Muhyiddin menasihat Agong untuk memanggil sidang Parlimen seawal bulan Mac, “sepertimana diperkenan Tuanku dalam takwim Parlimen sebelum ini”.

“Majlis Presiden PH menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong di atas pandangan yang dizahirkan hari ini,” katanya.

Majlis itu berkata pandangan Sultan Abdullah itu seperti pendirian PH dan majoriti Ahli Parlimen bahawa Parlimen perlu terus memainkan peranan ketika cabang eksekutif dan kehakiman boleh berfungsi sewaktu darurat berkuatkuasa.

Ia bagi memastikan urus tadbir kerajaan terjaga dan proses semak imbang diteruskan, tambahnya.

“Oleh itu, kami akan mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk memulihkan kedudukan Parlimen,” katanya.

Majlis itu berkata PH akan mentengahkan isu serta masalah yang dihadapi rakyat dalam usaha membenduk pandemik, serta merencana langkah bagi menghidupkan semula ekonomi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *