PH: Rasuah semakin menjadi-jadi, mohon tindakan tegas Kerajaan

KOTA KINABALU, 14 Jun – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menimbulkan rasa risau dan marah apabila meneliti kejadian-kejadian rasuah yang semakin menjadi-jadi dalam negara.

Menurut kenyataan PH, ini adalah berikutan daripada keterangan mahkamah mantan Ketua Setiausaha Negara merangkap ahli lembaga penasihat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang menerima bayaran secara rahsia.

“Berdasarkan laporan media, beliau menerima bayaran sehingga sebanyak RM30,000 sebulan walaupun tiada sebarang mesyuarat lembaga penasihat 1MDB diadakan.

“Ini menimbulkan pelbagai tanda tanya kerana beliau masih memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara pada ketika beliau menerima bayaran-bayaran berkait 1MDB ini,” jelas PH dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, PH turut menyentuh kes rasuah berhubung Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang melibatkan dua pemimpin politik UMNO.

“Seorang bekas pengarah UKSB berkata Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menerima di antara SGD200,000 hingga SGD520,000 sebulan.

“Bekas pengarah itu juga berkata Khairy Jamaluddin melalui UMNO Bahagian Rembau telah menerima di antara RM50,000 hingga RM200,000.

“Kedua-dua kes ini amat merisaukan, bukan hanya kerana ia melibatkan tokoh-tokoh politik besar tetapi juga tokoh utama perkhidmatan awam,” kata PH.

Berikutan hal tersebut, PH mengulangi komitmen untuk memerangi rasuah dan menggesa Kerajaan untuk melaksanakan tindakan dan reformasi pada kadar segera.

“Termasuklah melaksanakan Rang Undang-Undang Pendanaan Politik serta meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di bawah bidang kuasa Parlimen,” tegasnya.

Kenyataan ini dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.