PH ingin segera bertemu PM bincang RUU Anti Lompat Parti

KOTA KINABALU, 14 Jun — Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan semalam menegaskan bahawa pihak kepimpinan mereka akan mengadakan pertemuan segera dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membincangkan mengenai Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Menurut PH, ini berikutan daripada kekecewaan yang timbul di atas kegagalan Kerajaan memanggil sidang khas Dewan Rakyat untuk membentang mengenai RUU tersebut seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini.

“Pemimpin utama PH akan mengadakan pertemuan segera dengan Perdana Menteri bagi membincang RUU Anti Lompat Parti dan beberapa perkara lain yang terdapat dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara PH dan Kerajaan Persekutuan.

“Terdapat tiga perkara dalam MOU yang perlu dilaksanakan iaitu menetapkan dua penggal atau 10 tahun bagi perdana menteri, membentangkan RUU Perkhidmatan Parlimen, dan meminda Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat,” jelas kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, PH juga berharap RUU tersebut akan dapat dibentang, dibahas dan diluluskan pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 18 Julai ini.

“Dengan meluluskan RUU ini maka 15 dari 18 perkara dalam MoU tersebut akan turut tercapai bersamaan dengan 83 peratus serta tiga perkara yang diatas,” katanya.

Kenyataan Majlis Presiden PH ini dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.