KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah mahu kerajaan negeri yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) terus dikekalkan demi kestabilan politik.
Dalam kenyataan bersama PH Sabah, semalam, mereka turut menyatakan sokongan penuh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal untuk meneruskan kepimpinan negeri yang setakat ini terbukti dapat memberi manfaat kepada rakyat Sabah keseluruhannya.
PH Sabah juga berharap agar model politik yang diamalkan di Malaysia Timur ini yang agak matang dalam konteks politik negeri yang berbilang kaum dan agama dapat diterjemahkan dalam konteks politik negara.
Konflik antara kaum dan fanatik beragama perlu diminimakan dalam membina masa depan negara.
“Kita tidak mahu negara ini diheret dengan prasangka antara kaum dan menjadi bom jangka di masa hadapan.
“Oleh itu PH Sabah mencadangkan agar formula politik di Malaysia Timur atau Borneo ini terutama di Sabah dapat menjadi rujukan pimpinan nasional dalam mengatasi kemelut politik yang melanda negara.
“Sudah tiba masanya pemimpin Sabah dan Sarawak sepatutnya diberi peranan strategik dalam menerajui kepimpinan negara kerana kebijaksanaan dan kematangan mereka dalam mengurus kepelbagaian etnik dan agama,” kata.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengerusi PH Sabah merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Christina Liew; Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Datuk Frankie Poon dan Pengerusi AMANAH Sabah Lahirul Latigu.
Sementara itu, kenyataan itu berkata PH Sabah memandang serius mengenai perkembangan politik peringkat Nasional yang dilanda krisis disebabkan pergolakan politik dan perebutan kuasa.
Mereka juga mengesa agar mandat rakyat dikembalikan agar kita boleh fokus dalam menangani isu ekonomi untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan sektor pendidikan yang menjadi nadi pembangunan insan negara.-http://beritasabah.com
More Stories
Konvensyen UPKO untuk permerkasaan parti dan perjuangan rakyat: Ketua Penerangan
STAR, PBS dijangka tandatangani MoU Khamis ini
Saya masih Pengerusi PKR Sabah yang sah – Sangkar Rasam