KOTA KINABALU, 10 Feb – Pakatan Harapan (PH) menyediakan siri tawaran merangkumi aspek pembangunan ekonomi, pemantapan sosial, serta reformasi politik di bawah kempen ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’.
Menurut kenyataan PH, ia diputuskan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam mesyuarat berkala Majlis Presiden PH semalam.
“Majlis Presiden PH juga memutuskan mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas parti-parti dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
“Ini demi menyatakan kesediaan PH menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk Kerajaan Negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik,” demikian menurut kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.
Kenyataan tersebut dikemukakan bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Hj Mohamad Sabu; Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng; dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Ujar kenyataan itu lagi, Majlis Presiden PH memandang serius gelombang COVID-19 dengan varian Omicron yang mencecah 17,000 kes semalam.
“Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik, kerajaan harus mempertimbangkan untuk menangguhkan PRN Johor.
“Sekiranya kerajaan enggan, maka kempen terbuka harus dibenarkan. Yang pasti Perintah Kawalan Pergerakan penuh (total lockdown) tidak boleh dikenakan kerana terbukti gagal sebelum ini,” tambah kenyataan itu.
Majlis Presiden PH turut memberikan amaran agar kerajaan tidak menyalahgunakan penguatkuasaan saman ke atas individu dan perniagaan, tetapi sebaliknya memberi fokus kepada pendidikan dan kesedaran untuk menangani cabaran gelombang Omicron yang rata-rata hanya bergejala ringan.
Dalam pada itu, Majlis Presiden PH turut mengambil maklum siri libat urus berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti bersama Ahli-Ahli Parlimen yang diadakan di Parlimen semalam.
Dalam kenyataan sama, majlis itu memaklumkan bahawa RUU Anti-Lompat Parti ini bertepatan dengan hasrat PH dan kerajaan seperti yang termaktub di dalam Perkara 2.1, Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan dan Pakatan Harapan.
“Perkara 2.4 menyatakan bahawa RUU ini perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac 2022.
“Oleh itu, Majlis Presiden PH berpandangan bahawa RUU Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan seperti yang dipersefahami di dalam MOU tersebut,”tegas kenyataan tersebut.
More Stories
Pembinaan semula jambatan Pekan Tuaran – Sg Damit disenaraikan dalam RP5 RMKe-12 dengan kos RM30 juta: Kementerian Ekonomi
‘DUN Sabah bubar Ogos 2025’
Jelajah UPKO Gelombang Pantai Timur Cawangan Baharu Kg Sg Beruang Libaran dibentuk, perjuangkan hak rakyat di akar umbi