PHOONG RASMI KEMPEN DERMA DARAH JUMAAT INI

KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan Sabah dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang YB Phoong Jin Zhe (gambar) akan merasmikan Kempen Derma Darah Jumaat ini (14 Jun 2019) bertempat di Lobi Hospital Queen Elizabeth II bermula jam 8:00 pagi hingga 4:00 petang.

Presiden Persatuan Penderma Darah Sabah (Pendarah) Alix Sunggin berkata, kempen ini adalah anjuran Hospital Queen Elizabeth II dengan kerjasama Pendarah, Persatuan Kebajikan An Nur Inanam dan Syarikat Life Water (K2) sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat Hospital Queen Elizabeth II yang disambut setiap 14 Jun di seluruh dunia.

“Penganjur juga telah menyediakan pelbagai aktiviti dan hadiah menarik sebagai penghargaan kepada penderma. Datanglah beramai-ramai untuk menderma darah. Sama-sama kita menunaikan tanggungjawab sosial kepada mereka yang memerlukan. Pihak hospital sekarang masih kekurangan bekalan darah” kata Alix.