PIBG SMK KONVEN ST CECELIA DERMA KIT KESIHATAN BANTU SEKOLAH

SANDAKAN: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Konven St Cecelia mengambil inisiatif awal membantu sekolah dengan mendermakan kit kesihatan sebagai persediaan pembukaan sekolah, Rabu depan.

Sumbangan itu membabitkan sebanyak 1,000 pelitup muka, 150 liter cecair pembasmi kuman dan lima alat pengukur suhu badan.

Yang Dipertua PIBG SMK Konven St Cecelia, Dr Peter Jr Naintin, berkata sumbangan itu sekali gus membantu sekolah membuat persediaan untuk menangani penularan pandemik Covid-19.

Katanya, seramai 180 pelajar Tingkatan Lima di sekolah terbabit dijangka memulakan sesi persekolahan Rabu depan.

“PIBG memainkan peranan penting dalam membantu pemegang taruh di sekolah agar semua dapat menjalankan aktiviti pembelajaran dengan baik, selesa, dan selamat.

“Kita berharap agar warga sekolah terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Sumbangan itu disampaikan kepada Pengetua SMK Konven St Cecilia, Soo Tian Hock, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Penolong Kanan Pentadbiran, Chong Fui Ha.

Peter berkata, pihaknya sebelum ini mengambil pelbagai langkah untuk membantu sekolah termasuk mengadakan Larian Jogathon 2020 pada Februari lalu dengan kerjasama sekolah.

Selain mempromosikan gaya hidup sihat, katanya, program itu bertujuan untuk mengumpul dana yang digunakan bagi membiayai aktiviti kurikulum, kokurikulum, dan membantu pelajar dalam aktiviti pembelajaran serta kebajikan.-http://beritasabah.com