Pihak berkuasa terus siasat individu disebut dalam Pandora Papers, kata PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan beberapa individu dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkait siasatan Pandora Papers.

Anwar memberitahu Dewan Rakyat, pihak berkuasa dan badan yang terbabit – SPRM, LHDN, Bank Negara (BNM) serta polis – sedang menunjukkan kesungguhan mereka mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana ahli politik disebut dalam laporan berkenaan.

“Semua yang lari daripada cukai, yang melanggar daripada undang-undang itu sedang disiasat, dan beberapa tindakan sudah pun diambil.

“(Tetapi) sebelum pendakwaan dibuat saya tak boleh beri penjelasan lebih daripada itu, namun saya beri jaminan dari sudut badan-badan yang telah melapor kepada saya, arahan daripada saya itu jelas.

“Jangan ambil sambil lewa tindakan ini dan biarlah ia sebagai pengajaran dan negara tidak mampu lagi mengizinkan hal ini diteruskan,” katanya menjawab soalan tambahan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian).

Kira-kira 12 individu warga Malaysia dinyatakan dalam siasatan Konsortium Antarabangsa bagi Wartawan Penyiasatan (ICIJ) berkenaan puluhan ketua negara, kerajaan, dan pemerintah dari serata dunia yang didakwa menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir.

Siasatan itu berdasarkan pembocoran 11.9 juta dokumen sulit daripada 14 syarikat khidmat kewangan di seluruh dunia, yang dipanggil Pandora Papers.

Antara ahli politik Malaysia yang dikaitkan ialah bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan Tengku Zafrul Aziz; dan Presiden Umno, Zahid Hamidi; dan beberapa yang lain, lapor Berita Harian Singapura.

Tiada semua dokumen itu melibatkan pemerbadanan amanah atau perniagaan luar pesisir, kerana beberapa dokumen sekadar menamakan individu warga Malaysia sebagai sebahagian daripada semakan latar belakang.

Mempunyai entiti luar pesisir tidak menyalahi undang-undang, namun dalam beberapa kejadian amalan itu digunakan untuk mengelak cukai.

Anwar ketika mengulas lanjut, berkata tindakan pendakwaan hanya dilakukan berdasarkan bukti dan fakta.

“Kalau ada bukti ada fakta, maka tindakan diambil. kalau tindakan diambil tanpa fakta, maka itu boleh dicabar sebagai penyalahgunaan kuasa ataupun dikatakan motif politik,” katanya.