Seorang ahli ekonomi berkata, Sabah patut mengikut perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 atau “lockdown” yang dilaksanakan di seluruh negara, jika ia dilanjutkan minggu ini, walaupun jumlah kes Covid-19 di negeri itu menunjukkan penurunan dalam beberapa hari ini.
James Alin dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, jika Sabah memutuskan untuk tidak mengikut “lockdown” itu dan membuka lebih banyak sektor, ia akan melambatkan kemajuan di negeri itu jika kadar vaksinasi kekal perlahan seperti sekarang.
“Ia sebenarnya bagus untuk mengikut (PKP itu) kerana kadar vaksinasi kita jauh daripada memuaskan, bahkan tidak sampai 10% populasi yang divaksin (setakat 25 Jun lalu),” katanya kepada FMT.
“Jadi, meneruskan ‘lockdown’ untuk dua minggu lagi adalah pilihan terbaik. Kerajaan negeri kemudian boleh mempertimbangkan untuk membuka sedikit, tetapi proses vaksinasi perlu dipercepatkan.”
PKP penuh yang bermula 1 hingga 14 Jun lalu, dilanjutkan selama dua minggu lagi dan dijadualkan berakhir esok.
Alin mengakui rakyat, khasnya dalam sektor perniagaan, mahu lebih banyak kebebasan untuk menjalankan aktiviti mereka, tetapi dengan berbuat demikian, ia akan lebih merugikan ekonomi dalam jangka panjang.
“Ya, kita akan menderita dari segi ekonomi, tetapi jika kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa mengenai kekurangan vaksin di Sabah, maka tiada gunanya membuka semula lebih banyak sektor kerana kita akhirnya akan melihat peningkatan kes dan tidak mencapai sebarang kemajuan.
“Sabah melakukan dengan baik untuk dua daripada tiga petunjuk utama – purata kes harian dan sistem kesihatan negeri – tetapi kita tidak mencapai prestasi untuk petunjuk ketiga dan paling penting, iaitu vaksinasi”.
Alin berkata, kerajaan negeri perlu membeli vaksin sendiri kerana ia mempunyai kuasa membeli untuk berbuat demikian dan menjalankan kempen imunisasi sendiri seiring Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Negeri ini mempunyai banyak GLC, jadi gunakan mereka untuk mengimport vaksin. Juga, ahli politik dan penggubal undang-undang perlu mengambil inisiatif lebih proaktif.”
Setakat Jumaat lalu, hanya 363,382 orang atau 9.3% daripada anggaran 3.9 juta populasi menerima dos pertama vaksin Covid-19, manakala 861,073 orang atau 31.22% sudah mendaftar untuk PICK.
Ahli ekonomi, Firdausi Suffian berkata, Sabah sebelum ini menunjukkan ia tidak perlu mengikut PKP yang dilaksanakan kerajaan persekutuan.
Tetapi, tidak kira ia berbuat demikian atau tidak, negeri itu perlu melaksanakan program kesihatan yang lebih proaktif dan besar, serta pelan pemulihan ekonominya sendiri.
“Lockdown” mungkin perlu untuk membendung jangkitan, katanya, tetapi melanjutkannya tanpa pelan pemulihan mungkin bukan langkah bijak.
“Sama ada kita mengikut PKP atau PKP bersyarat, kerajaan Sabah perlu tampil dengan pelan pemulihan sendiri.
“Dan selain menjadi kunci untuk mencapai imuniti kelompok, kadar vaksinasi tinggi juga satu daripada faktor penting dalam pelan pemulihan.
“Jadi, apabila kita mencapai imuniti kelompok, kita boleh membuka semula ekonomi dengan sekatan dikurangkan.”

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cradle Open Day 2024 Tingkat Inovasi Dan Pertumbuhan Ekosistem Startup Di Sabah
Hutang Isi Rumah Negara Berjumlah RM1.53 Trilion