PKP : LEBIH 700 ANGGOTA ATM TERLIBAT DI SABAH

KOTA KINABALU: Panglima Divisyen Kelima Infantri, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Khir Abdullah berkata seramai lebih 700 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakan untuk membantu polis dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 45 anggota daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), 30 anggota dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan selebihnya adalah anggota tentera darat.

“Dalam pelaksanaan PKP ini tentera membantu polis dalam melaksanakan sekatan jalan raya dan rondan di seluruh Sabah,” katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini.

Mohammad Khir berkata anggota tentera yang bertugas semasa PKP akan digilirkan dengan anggota baru bermula esok.

“Semua anggota berkenaan akan bertukar dengan anggota lain sehingga selesai PKP pada 14 April ini. Bagaimanapun kita sentiasa bersiap sedia untuk membantu pihak polis sekiranya PKP dilanjutkan,” tambahnya.

Mengulas mengenai kunjungan hormat itu, beliau berkata ia adalah kunjungan hormat terakhirnya sebelum bersara wajib.

“Saya berjumpa dengan Ketua Menteri untuk menyampaikan ucapan terima kasih kerana memberi sokongan dan kerjasama selama saya menjawat jawatan ini. Esok saya akan mula bercuti sebelum bersara wajib daripada ATM selepas 41 tahun berkhidmat,” katanya./BERITA SABAH