BANTUAN MAKANAN BERNILAI RM500,000 UNTUK UMS

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini menyampaikan sumbangan dana bantuan makanan bernilai RM500,000 kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi membantu para pelajar di universiti itu sepanjang tempoh pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob kepada Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin dan turut disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dalam satu majlis ringkas di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Yusof berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memastikan kebajikan semua pelajar Sabah termasuk yang berada di Sarawak, Semenanjung Malaysia dan luar negara terus terpelihara sepanjang pelaksanaan PKP.

“Kerajaan negeri juga akan berusaha membantu menyelesaikan segala masalah dihadapi pelajar dan menyampaikan bantuan mengikut kes dilaporkan termasuk melibatkan universiti swasta di negeri ini. Apa yang penting, para pelajar mematuhi arahan sepanjang PKP supaya wabak Covid-19 dapat ditangani segera,” katanya.

Sementara itu, Taufiq berkata bantuan itu akan digunakan bagi membantu menyediakan keperluan makanan kepada 6,236 pelajar yang masih berada di dalam kampus dan luar kampus UMS seluruh Sabah termasuk Labuan sejak PKP dikuatkuasakan mulai 18 Mac lepas.

Pada majlis sama, UMS turut menerima sumbangan RM100,000 daripada Sabah Credit Corporation yang akan disalurkan ke dalam Tabung Bantuan Khas Covid-19 UMS./BERITA SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *