POLIS BELURAN MENEMUI GADING GAJAH

Gading gajah yang ditemui di ladang kelapa IOI

Oleh Kahar Ali

BELURAN:  Dalam perkembangan terkini berhubung kes penemuan bangkai gajah tanpa gading, pihak polis Beluran telah berjaya menjumpai gading gajah semalam.

Ketua Polis Daerah Supt Kasim Muda memberitahu bahawa pada  Okt 23  lebih kurang 1.00 petang pengurus ladang IOI Bimbingan 2,  telah menerima maklumat daripada pekerjanya bahawa penduduk kampung ada menjumpai gading gajah di kawasan semak berhampiran tempat bangkai gajah di temui mati.

Pasukan polis bersama pengurus ladang kemudian telah pergi ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan dan mengambil gading gajah tersebut untuk siasatan lanjut. Setakat ini tiada tangkapan di lakukan dan masih mencari maklumat berkaitan saspek kes ini, kata Kasim.

Kasim sekali lagi menegaskan tiada peluru ditemui dalam badan gajah tersebut semasa bedah siasat dijalankan. Ini menolak kemungkinan punca kematian adalah akibat tembakan. Walau bagaimanapun punca kematian sebenar masih belum dipastikan.

Beliau merayu kepada sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis  Bahagian Siasatan Jenayah IPD Beluran untuk membantu siasatan.