POLIS KK BERJAYA SELESAIKAN KES REMAJA DILARIKAN DALAM TEMPOH KURANG LAPAN JAM

KOTA KINABALU: Satu kes remaja perempuan dilarikan berjaya diselesaikan polis daerah ini dalam tempoh kurang lapan jam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah di sebuah kedai di Taman Dah Yeh Villa, Luyang, di sini, Isnin lalu.

Namun hasil kecekapan siasatan, polis berjaya menahan suspek pada jam 7.30 malam, hari yang sama.

Difahamkan, mangsa berusia 14 tahun itu dikatakan pergi ke kedai berkenaan untuk membeli kad prabayar.

Bagaimanapun, mangsa secara tiba-tiba ditarik oleh suspek berusia 16 tahun secara kekerasan sebelum dipercayai dilarikan menaiki sebuah kenderaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, polis menerima laporan daripada ibu mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah di kawasan perumahan berkenaan.

Katanya, berdasarkan siasatan yang dilakukan, polis berjaya mengesan kejadian hasil rakaman kamera litar tertutup dari salah sebuah kedai berhampiran.

“Hasil siasatan dan maklumat diterima, seorang remaja lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian melarikan remaja perempuan itu berjaya ditahan di kawasan berhampiran kira-kira jam 7.30 petang.

“Suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut sebelum kes dirujuk ke mahkamah untuk proses pendakwaan dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, hasil pemeriksaan tiada sebarang kecederaan dikesan.

“Difahamkan, suspek juga adalah kenalan kepada mangsa yang terbabit.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *