POLIS MARIN SANDAKAN RAMPAS PELBAGAI BARANG TIRUAN

Anggota Pasukan Polis Marin Sandakan menunjukkan barang-barang disyaki tiruan yang dirampas dalam serbuan pada hari Khamis
Oleh Kahar Ali
SANDAKAN : Sepasukan Polis Marin dari Unit Risikan Marin Sandakan telah berjaya merampas pelbagai jenis barang tiruan dianggarkan bernilai RM 29,405 dalam satu operasi di Bandar Sibuga Jaya, Jalan Fook Kim pada pagi hari Khamis.
Menurut Komander Pasukan Polis Marin Sabah ACP Haji Mohamad Pajeri Ali, antara barang tersebut ialah 186 utas jam tangan,  sejumlah dompet berserta 226 buah beg disyaki adalah tiruan dalam serbuan terhadap sebuah premis.
“Pasukan Polis Marin  telah menyerbu premis yang dijadikan tempat penyimpanan dan beroperasi untuk menjalankan perniagaan. Hasil dari pemeriksaan lanjut telah menemukan sejumlah jam, dompet dan beg pelbagai saiz dan jenama yang disyaki adalah barang tiruan,” kata Mohamad Pajeri.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati barang-barang ini dipercayai telah diseludup masuk dari negara jiran Filipina melalui jalan laut. Unit Risikan Marin (URM) Sandakan telah lama menjejaki dan berusaha mengumpul maklumat sebelum serbuan dijalankan.
Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 66 tahun yang disyaki pemilik barangan berkenaan, tambah Mohamad Pajeri.
“Barang-barang  berkenaan dipercayai  untuk dijual kepada pelanggan di sekitar Sandakan secara borong dengan harga serendah RM10. Kesemua barang tersebut dirampas dan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.
Mohamad Pajeri berkata, pihaknya memandang serius terhadap peniaga-peniaga yang menggunakan Perihal Dagangan Palsu ke atas barangan-barangan berjenama yang melanggar undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
“Peniaga perlu tahu akan kesalahan yang melibatkan suatu perihal dagangan termasuklah suatu petunjuk, sama ada secara langsung atau tidak langsung dan yang diberikan dengan apa-apa cara berkenaan dengan apa-apa barang yang berhubung dengan cap dagangan yang berdaftar di bawah Akta Cap Dagang 1976,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu mana-mana orang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan seolah-olah barang-barang itu tertakluk kepada apa-apa hak yang berhubungan dengan cap dagangan berdaftar dan boleh dihukum iaitu didenda tidak lebih RM 15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal barangan palsu dan kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak lebih RM 30,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.