SEBATIK: Majlis Keselamatan Negara (MKN) merancang menubuhkan sebuah pos keselamatan di Pulau Sebatik yang terletak di sempadan Tawau, Sabah dengan Pulau Nunukan di Kalimantan, Indonesia bagi menjamin keselamatan penduduknya.
Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi berkata, pos kawalan itu melibatkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) serta Pasukan Gerakan Am (PGA).
Katanya, penubuhan pos kawalan ini sekali gus mampu menjamin tahap keselamatan penduduk, meningkatkan keyakinan rakyat serta membenteras kegiatan tidak diingini pada masa hadapan.
“Penubuhan pos kawalan ini menepati keperluan semasa, disamping mampu memberi tumpuan kepada penugasan bersama dalam meningkatkan keselamatan di negeri Sabah.
“Kedudukan Pulau Sebatik berhampiran dengan persempadan negara jiran Indonesia adalah langkah terbaik dalam meningkatkan keselamatan kedua-dua negara,” katanya.
Sementara itu ketika berucap di majlis berkenaan Mohd Sofi berkata, sempena sambutan 10 tahun Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, Kementerian Pertahanan menganjurkan Program Jiwa Murni Perdana di Sekolah Kebangsaan (SK) Mentadak Baru, Pulau Sebatik.
“Program ini adalah salah satu daripada 91 program yang dijalankan Kementerian Pertahanan sebagai Pelan Strategik MINDEF.
“Tujuan program ini untuk merapatkan hubungan agensi keselamatan ATM bersama dengan penduduk tempatan di Pulau Sebatik diwakili Tentera Darat Malaysia,” katanya.
Menurutnya, Pulau Sebatik adalah lokasi bersesuaian melaksanakan program ini berikutan lokasi strategik untuk meninjau dan meningkatkan tahap keselamatan di kawasan ini.
“Kita mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak terlibat termasuk ketua agensi keselamatan, sekolah, ibu bapa serta jwarga kampung.
“Sokongan berterusan ini perlu diteruskan pada masa depan bagi memastikan tahap keselamatan akan ditingkatkan pada masa depan,” katanya.
More Stories
Pembinaan semula jambatan Pekan Tuaran – Sg Damit disenaraikan dalam RP5 RMKe-12 dengan kos RM30 juta: Kementerian Ekonomi
‘DUN Sabah bubar Ogos 2025’
Jelajah UPKO Gelombang Pantai Timur Cawangan Baharu Kg Sg Beruang Libaran dibentuk, perjuangkan hak rakyat di akar umbi