KOTA KINABALU: Pertubuhan Orang Seni Tempatan Sabah (POST’s) menyarankan agar satu kementerian baharu iaitu Kementerian Seni Sabah (KSS) diwujudkan oleh kerajaan baharu yang bakal ditubuhkan di negeri ini.
Presidennya Janrywine J.Lusin berkata kewujudan kementerian itu harus dilihat pada skop yang lebih luas dan proaktif.
“Umum mengakui Sabah bukanlah sebuah negeri yang boleh dipandang rendah dari segi bakat seni yang meliputi pelbagai cabang…sebaliknya setiap kali kemunculan karya seni dari anak seni tempatan Sabah, pasti menjadi kejutan natizen dan seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Janrywine yang juga Presiden Kelab Rekreasi Artis Sabah (KERAS) berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini tumpuan pelbagai syarikat produksi dari semenanjung tanah air turut menjadi bukti bahawa Sabah mempunyai khazanah bernilai tinggi yang perlu diurus dengan penuh pengkhususan dan bersistematik.
Bagaimanapun, beliau berkata malangnya hampir seluruh berpuluh ribu pengkarya di Sabah berada dalam keadaan yang menyedihkan.
“Mereka (Anak Seni) tiada panduan yang didokong konkrit oleh mana-mana kementerian sedia ada dalam mencorak hala tuju karya masing-masing pada masa hadapan. Kementerian-kementerian mahupun agensi-agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung pula dilihat sekadar mampu menyediakan platform pementasan, selain sekadar memberi ‘job’ dan bantuan dana.
“Ini tidak mencukupi jika dibandingkan dengan sumbangan anak seni dalam membentuk identiti bangsa yang eksklusif di mata dunia. Seperti negara-negara lain yang turut menikmati pulangan ekonomi yang besar dari sudut hiburan seperti Amerika, Eropah dan Korea Selatan,
“negara-negara ini mempunyai sistem pentadbiran yang turut memberi tumpuan khusus keatas pembangunan industri berkenaan. Oleh itu tidak hairanlah masyarakat negara ini mudah meniru identiti tarian K-Pop kerana strategi pemasaran hiburan negara berkenaan adalah berjaya,” tambahnya.-http://beritasabah.com
More Stories
Seramai 650 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang dari sandakan
Wanita cedera kereta terbabas ke dalam gaung
Dakwa warga China kerja tanpa permit, pengusaha pelancongan tempatan di Semporna lapor polis