PPM halau dua warga Filipina yang pok silap masuk di perairan dekat Pulau Tambisan

Pasukan Polis Marin (PPM) di sini mengusir sebuah bot pam dinaiki dua lelaki warga asing yang dikesan menceroboh masuk perairan negara di kedudukan kira-kira 15 batu nautika dari utara Pulau Tambisan, Tungku, hari ini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Lahad Datu, Superintendent Gan Ping Sin berkata tindakan pengusiran itu dilakukan sepasukan anggota PPM dari Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Lahad Datu, kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, bot pam itu telah dipintas petugas setelah dikesan dalam keadaan mencurigakan dari perairan negara jiran dan memasuki perairan negara.

“Hasil pemeriksaan polis, mendapati dua lelaki dewasa berada di dalam bot pam itu mendakwa berasal dari Bongao, Filipina dan gagal mengemukakan dokumen diri dan perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan.

Bot pam dan dua lelaki tersebut kemudiannya diusir dengan mengiringi mereka sehingga keluar dari perairan negara.

Beliau menegaskan, PPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara terutama sekali bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Gan seterusnya menyeru masyarakat di persisir pantai dan maritim menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di nombor 0132831197 atau berhubung ke Gerakan PPM Lahad Datu di talian 0139808084 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal. – Utusan Borneo