PPM RAMPAS 200 KG IKAN BOM

KOTA KINABALU: Kecekapan siasatan Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu membawa kepada rampasan 200 kilogram (kg) ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom ikan, di Pasar Safma, di sini, semalam.

Dalam rampasan kira-kira jam 8 pagi itu, PPM turut berjaya menahan dua lelaki berusia 25 dan 29 tahun ketika melakukan aktiviti memunggah ikan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Enturan AK Lageh berkata, bertindak atas aduan awam, pasukan PPM melakukan operasi pemeriksaan di kawasan pasar berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati terdapat tujuh bakul ikan pelbagai jenis yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Ketika operasi dilakukan, dua lelaki yang sedang melakukan pemunggahan ikan dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota dan Pegawai PPM segera menahan kedua-dua lelaki terbabit sebelum memeriksa ikan yang dipunggah untuk mengenalpasti sama ada ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Enturan berkata, jumlah keseluruhan ikan yang dirampas adalah sebanyak 200 kg dan dianggarkan bernilai RM2,315.

“Kes diserah kepada Jabatan Perikanan dan disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 kerana memiliki ikan disyaki ditangkap dengan menggunakan bahan letupan,” katanya.-http://beritasabah.com