KUDAT: Lebih banyak premis Tamu Desa akan dibina bagi memberi kemudahan yang selesa kepada usahawan luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata setakat ini sebanyak 94 premis sudah dibina di kedua-dua negeri termasuk satu di daerah ini.
Katanya, premis Tamu Desa Pekan Sikuati, di sini, membolehkan usahawan tamu berniaga dengan lebih selesa.
“Pelaksanaan projek premis Tamu Desa ini memberikan kesan positif kepada usahawan tamu yang kini menikmati kemudahan lebih baik berbanding sebelum ini.
“Saya gembira kerana peniaga dan usahawan di sini sangat menghargai kemudahan ini yang diberikan oleh Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Kita telah memperuntukkan hampir RM200,000 bagi membina premis ini. Sebelum ini usahawan tamu hanya menggunakan kanopi untuk berjualan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau premis Tamu Desa Pekan Sikuati dalam lawatan kerja di daerah ini, pada Isnin.

Ewon berkata, pelaksanaan premis Tamu Desa akan diteruskan tahun ini, termasuk di Kudat susulan beberapa permohonan baharu yang dikemukakan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda.
Katanya, pelaksanaan projek itu selari dengan dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara (Perspektif KUSKOP), yang memberi fokus tambahan kepada keperluan keusahawanan dan koperasi di Sabah dan Sarawak.
“KUSKOP akan terus menyokong pembangunan keusahawanan dan koperasi di seluruh negara. Premis Tamu Desa Pekan Sikuati antara contoh terbaik pelaksanaan projek ini dan boleh dijadikan model bagi projek Tamu Desa yang akan datang.
“Saya juga menghargai kepimpinan Ahli Parlimen Kudat yang memantau sendiri pelaksanaan projek ini dan turut mengemukakan beberapa lagi permohonan untuk membina premis Tamu Desa di kawasan Parlimen Kudat,” katanya.
Terdahulu, Ewon turut meninjau premis Tamu Desa Rondomon di Matunggong, yang dibina oleh KUSKOP pada tahun lalu.
“Premis ini bertujuan menyediakan kemudahan lebih selesa kepada usahawan tamu mingguan di luar bandar di Sabah dan Sarawak.
“Saya gembira kerana penduduk yang saya temui menyatakan penghargaan mereka kepada Kerajaan MADANI atas inisiatif ini,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ