Prestasi SPM Sabah terus meningkat, KPM teliti bina asrama desa

Kota Kinabalu : Sabah terus mencatat peningkatan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang merupakan antara hasil usaha berterusan warga pendidik negeri ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pencapaian itu juga adalah bukti komitmen tinggi para guru, murid dan pentadbir pendidikan di Sabah. 

Namun, beliau menegaskan bahawa usaha itu tidak boleh terhenti setakat ini.

“Prestasi Sabah dalam SPM menunjukkan trend yang positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

“Tetapi kita tidak boleh leka. Masih ada ruang untuk penambahbaikan,” katanya semasa lawatan rasmi sempena pasca pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di sini semalam.

Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini memberi tumpuan kepada usaha mengatasi halangan psikologi dalam kalangan pelajar, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. 

Katanya, KPM juga akan meneliti keperluan seperti pembinaan asrama desa untuk memastikan akses pendidikan lebih mudah dan inklusif.

Tambah beliau, isu kehadiran murid dan peningkatan literasi akan menjadi fokus utama di Sabah. 

“Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah turut dilaksanakan dengan lebih tegas bagi menangani isu keciciran.

“Pendidikan adalah jalan terbaik untuk memutuskan rantaian kemiskinan. Anak-anak Sabah berhak mendapat peluang yang sama untuk berjaya,” katanya. – SABAH MEDIA