KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan menjalankan siasatan dan pendakwaan terhadap 15 kes membabitkan penyelewengan barangan kawalan, dengan nilai rampasan mencecah RM1,302,073.20.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, antara barangan yang terbabit termasuk gas petroleum cecair, minyak masak bersubsidi, tepung gandum, gula, petrol RON95, serta diesel yang cuba diseludup ke negara jiran.

Katanya, rampasan itu direkodkan bermula dari 1 Januari hingga 25 April tahun ini.

“Bagi mengukuhkan pengawasan terhadap ketirisan barangan kawalan, KPDN Sandakan akan memperhebatkan pelaksanaan Operasi Bersepadu, terutamanya di kawasan perairan Sandakan.

“KPDN Sandakan terus mempergiatkan kerjasama bersama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas tentang Operasi Bersepadu yang dijalankan semalam, Azdy berkata seramai sembilan anggota penguat kuasa KPDN Sandakan bersama PPM Sandakan terlibat dalam operasi berkenaan.

Katanya, operasi bermula jam 9 malam hingga 2.30 pagi dengan fokus pemeriksaan di kawasan perairan sekitar Sandakan menggunakan aset PPM.

“Beberapa kawasan tumpuan seperti perairan Sungai Seguntor, pesisir Tanah Merah Kampung Bokara serta jeti swasta di Sandakan telah diperiksa.

“Namun tiada kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dikesan sepanjang operasi berkenaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, denda boleh meningkat sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun.

“Manakala bagi syarikat, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama, dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya.

Azdy menegaskan bahawa KPDN Sandakan akan terus memperkukuh kecekapan penguatkuasaan dan memperluaskan kerjasama strategik bersama agensi berkaitan.

Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai untuk menjadi mata dan telinga KPDN dengan menyalurkan maklumat berkenaan salah laku peniaga melalui saluran rasmi.

“Aduan boleh dikemukakan menerusi WhatsApp di 019-8488000, Portal Aduan di http://eaduan.kpdn.gov.my, Pusat Panggilan 1-800-886-800, atau emel ke eaduan@kpdn.gov.my.

“Orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi Ez ADU KPDN atau menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) di talian 03-8882 6088 / 6245, atau menghantar surat rasmi ke pejabat KPDN berhampiran,” katanya. – Info X