PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.
Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, keputusan itu dibuat setelah membuat banyak pertimbangan dan kajian terperinci tentang sentimen di kalangan akar umbi, dan pengundi keseluruhan di kawasan parlimen Kimanis.
“Walaupun sebagai parti berbilang kaum dan turut mewakili rakyat di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kimanis, PBS telah memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut.
“Keputusan ini juga untuk menyokong pandangan di kalangan parti-parti pembangkang bahawa kami harus mengelakkan perpecahan undi di kalangan penyokong kami, kalau tidak ia akan memberikan kelebihan kepada gabungan parti pemerintah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik parti di ibu pejabat PBS, di Donggongon, di sini, hari ini.
Maximus bagaimanapun menambah bahawa kepimpinan PBS menetapkan syarat kepada calon yang mewakili pihak pembangkang untuk mendapat sokongan daripada ahli dan penyokong PBS di Kimanis pada pilihan raya kecil itu.
“Calon itu mestilah seorang pejuang yang vokal dan mempertahan hak Sabah seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan harus menjadi pelindung yang berani di Sabah terhadap pendatang tanpa izin dan penceroboh tanah wilayah kita.
“Oleh itu, calon mesti menentang dasar dan program yang menjejaskan keamanan Sabah dan mengancam hak kewarganegaraan orang asal Sabah,” katanya.
Ongkili menegaskan secara khusus, PBS hanya akan menyokong calon pilihan raya yang akan menolak cadangan kerajaan untuk melaksanakan Pas Sementara Sabah, atau dikenali sebagai ‘PSS’.
“Bagi kami di PBS, PSS merupakan ancaman utama kepada hak kewarganegaraan kita dan satu bentuk rasmi untuk pendatang tanpa izin untuk tinggal secara kekal di Sabah, dan kewarganegaraan yang lebih buruk dalam jangka panjang, menjejaskan kehidupan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau menambah bahawa PBS akan menyatakan secara terbuka sokongan politik kepada calon yang tepat selepas hari penamaan calon esok.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius