PRN17: UPKO, PBRS setuju aspirasi tempatan jadi asas rundingan

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) setuju aspirasi tempatan dijadikan asas rundingan gabungan politik menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Menerusi satu kenyataan bersama, Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick dan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup menyatakan bahawa aspirasi tempatan penting kepada gabungan besar politik bagi menghadapi PRN17.

Mereka berkata, pendekatan itu wajar dilaksanakan tanpa menjejaskan kestabilan politik dan keharmonian rakyat yang diperlukan untuk membangunkan masa depan Sabah dan menjadikan Persekutuan Malaysia lebih baik.

“UPKO dan PBRS akan terus menyumbang kepada perpaduan rakyat Sabah serta pada masa yang sama ingin menyumbang kepada kesatuan rakyat Malaysia.

“UPKO dan PBRS yang menganggotai gabungan politik kebangsaan ketika ini adalah ‘jambatan Sabah di Putrajaya’ dengan memainkan peranan yang sama konsisten dengan parti lain dalam memperjuangkan isu yang menjadi keprihatinan utama di Sabah termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perjuangan ‘Sabah First’ memerlukan kerjasama semua parti politik di Sabah yang harus dijayakan melalui hubungan baik di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri secara perundingan yang bijaksana, bukannya secara konfrontasi,” katanya.

Ewon dan Arthur menyatakan bahawa UPKO dan PBRS turut sama berjuang melalui platform gabungan masing-masing untuk menuntut pelaksanaan MA63 dan rancangan pembangunan di Sabah.

Mereka berkata, kedua-dua parti itu menyuarakan pelbagai isu di Sabah dalam platform gabungan politik masing-masing, termasuk dalam Kabinet Persekutuan.

“Ini terbukti berkesan berdasarkan sembilan tuntutan di bawah MA63 yang diselesaikan Kerajaan MADANI hari ini, manakala empat sudah diselesaikan kerajaan terdahulu.

“UPKO dan PBRS akan terus memperjuangkan tuntutan MA63 yang selebihnya termasuk keperluan pembangunan ‘Sabah First’ dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13, 2026-2030 mengikut pendekatan perundingan dan kerjasama dengan parti lain yang ada di Sabah,” katanya. – Info X