PRN17: Utamakan rakyat sebelum bincang gabungan politik –DAP Sabah

KOTA KINABALU: DAP Sabah meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan sebelum perbincangan mengenai gabungan politik menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).

Pengerusinya, Datuk Phoong Jin Zhe, berkata disebabkan itu, keutamaan DAP Sabah ketika ini adalah untuk terus berkhidmat dan bekerja keras demi kepentingan rakyat Sabah.

Selain itu, katanya DAP Sabah bersetuju perlunya Pakatan Harapan (PH) Sabah menyelesaikan rundingan dalaman terlebih dahulu sebelum memulakan rundingan dengan parti lain.

“Kami bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Majlis Perwakilan Negeri (MPN) Keadilan Sabah, Datuk Mustapha Sakmud bahawa PH Sabah perlu menyelesaikan perbincangan serta rundingan dalaman terlebih dahulu.

“Perkara itu mesti dilakukan sebelum memulakan rundingan kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keushawanan Sabah itu berkata, DAP juga menyambut baik hasrat Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai kerjasama di antara PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kestabilan politik negeri ini.

“DAP Sabah menantikan mesyuarat jawatankuasa rundingan yang bakal diadakan bagi membincangkan lebih lanjut secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata DAP Sabah sentiasa bersedia untuk meneroka ruang kerjasama dengan mana-mana parti di bawah kerangka Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRN17 yang bakal diadakan pada tahun depan.

“Pada pandangan kami, konsep dan semangat MADANI dalam Kerajaan Perpaduan perlu diterapkan dan dimartabatkan di Sabah selepas PRN nanti.

“Ia bagi memastikan kestabilan politik yang kukuh serta memberi fokus kepada pembangunan ekonomi Sabah,” katanya. – Info X