PAPAR: Masalah brek dipercayai menjadi punca sebuah van muatan buku terbabas ke gaung sebelum merempuh sebatang pokok di Kilometer 44, Jalan Kimanis – Keningau, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, pemandu van jenis Toyota Hiace Lee Jia Jun, 32, yang tersepit di tempat duduknya disahkan maut di tempat kejadian manakala penumpangnya lelaki berusia 23 tahun parah.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati kenderaan panel van dengan muatan buku dari arah Keningau menuju ke Labuan.
Katanya, pada masa itu apabila van menuruni jalan bukit dipercayai telah hilang kawalan akibat masalah brek lalu terbabas sejauh 20 meter ke dalam gaung di bahu kiri jalan dan melanggar pokok.
“Akibat kemalangan itu, pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Papar.
“Penumpang van parah di bahagian kaki dan mendapat rawatan di Hospital Papar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ