Projek Pemindahan Ilmu, UMS – PBIK tubuh Pusat Informasi Kelip-Kelip di Bongawan

BONGAWAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) merealisasikan penubuhan Pusat Informasi Kelip-Kelip Bongawan (PIKKB) di Pantai Kenangan Muara di sini melalui satu Projek Pemindahan Ilmu.

Dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Belia Inspirasi Kinabalu (PBIK) dan Homestay Seri Serbang, projek tersebut dibiayai melalui Geran Global Environment Facility, Small Grant Programme, United Nation Development Programme (GEF SG UNDP).

Menurut Ketua Penyelidik dan Perunding UMS, Yuzainy Janin, ia merupakan  pusat informasi yang pertama seumpamanya di Sabah sekali gus bakal menjadi pusat tarikan baru dan maklumat sehenti kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

“PIKKB ini merupakan sebahagian dari aktiviti di bawah projek “Mengupaya Peranan Belia dalam Menggalakkan Pelancongan Berasaskan Sungai yang Mampan di Daerah Papar dan Beaufort, Sabah 2020-2022”.

“Seperti yang kita sedia maklum, Bongawan sememangnya terkenal dengan keunikan spesies kelip-kelip di sepanjang sungai yang sentiasa menjadi tarikan kepada kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

“Justeru, penubuhan PIKKB ini melengkapkan lagi tarikan sedia ada di samping mengangkat potensi para belia untuk sama-sama menjayakan produk pelancongan berasaskan sumber alam semula jadi,” katanya yang juga Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS.

Untuk rekod, Yuzainy mengetuai projek tersebut bersama enam lagi penyelidik lain di FPEP.

Majlis perasmiannya disempurnakan Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.30 Bongawan, Haji Yusoff Minin, di sini, baru-baru ini.

Berucap pada majlis itu beliau berkata, PIKKB tidak terhad sebagai pusat sehenti maklumat berkaitan kelip-kelip sahaja, malah ia turut menyalurkan informasi tentang segala ekosistem sungai.

“Kerjasama daripada pusat penyelidikan, sektor awam dan swasta,  serta pihak Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dialu-alukan bagi memperkayakan sumber maklumat PIKKB.

“Kelip-kelip merupakan aset berharga sektor pelancongan berasaskan sungai di sini, dan ia amat bertepatan untuk diangkat sebagai ikon Bongawan.

“Pada masa yang sama, usaha memulihara dan memelihara  habitat kelip-kelip adalah usaha kolektif yang memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Yusoff turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada 30 peserta belia dari Kampung Seri Serbang, Binsulok dan Weston.

Sementara itu, Presiden PBIK Effendi Khairul merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak SGP UNDP kerana memberi kepercayaan kepada PBIK dan UMS untuk melaksanakan projek berkenaan.

“Usaha sama dengan UMS ini merupakan satu langkah PBIK ke arah memperkasakan peranan belia untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti pelancongan,” katanya.

Hadir sama, Penyelaras Homestay Seri Serbang Jeffery Hosil, pemimpin masyarakat serta para penduduk setempat.