Mahkamah tolak permohonan lanjutan masa peguam baharu Najib

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan pasukan peguam baharu Najib Razak yang minta diberi masa untuk membuat persiapan bagi rayuan kes SRC International.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata rayuan mesti diteruskan mengikut jadual.

“Kita mula pagi Khamis ini,” katanya. Rayuan kes SRC International dijadual bersidang selama 10 hari, dari 15 hingga 26 Ogos.

Ia bagi mendengar rayuan terakhir bekas perdana menteri itu untuk membatalkan pensabitan tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang, dan pecah amanah berkaitan dana RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International.

Pasukan peguam baharu Najib, diketuai Hisyam Teh Poh Teik, memohon mahkamah memberikan masa antara tiga hingga empat bulan kepada pihaknya untuk menyediakan dan menghujahkan kes.

Pasukannya baru sahaja mengambil alih kes ini, kurang sebulan lepas pada 21 Julai.

Dalam penolakan terhadap permohonan pihak pembelaan berhubung penangguhan, Tengku Maimun berkata, semua pihak dalam kes berkenaan – termasuk Najib yang menjadi tertuduh – cukup sedar sejak April bahawa rayuan ditetapkan bagi pendengaran, bermula 15 hingga 26 Ogos, dan permohonan melanjutkan masa atas alasan sama sudah ditolak pendaftar mahkamah ketika pengurusan kes sebelum perbicaraan.

“Parayu (Najib), cukup sedar penetapan tarikh bagi pendengaran, memilih untuk melepaskan peguam cara (Shafee & Co) dan melantik Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners dan Haji Hisyam Teh sebagai peguam cara dan ketua pasukan pembelaan.

“Ia menjadi haknya untuk berbuat demikian, namun beliau tidak boleh selepas membuat keputusan itu, berpatah balik dan mengatakan peguam baharunya tidak bersedia meneruskan pendengaran rayuan.

“Peguam baharu itu juga menerima lantikan tidak berhak untuk mengatakan mereka memerlukan lanjutan masa untuk bersedia, dengan sedar sepenuhnya bahawa tarikh itu sudah ditetapkan lebih awal,” kata ketua hakim itu.

Tengku Maimun berkata, Najib berhak memilih barisan peguamnya, tetapi “beliau tidak berhak membuat pilihan itu sehingga melibatkan mahkamah, pihak pendakwaan atau keseluruhan sistem kehakiman”.

“Selain itu, masa diambil berhubung kes ini, terutama jumlah hari bagi pendengaran ditetapkan, bermakna banyak lagi kes jenayah lain dan pihak dituduh perlu menunggu giliran mereka bagi rayuan untuk didengar.

“Keadilan tertangguh dalam kes ini juga akan menafikan keadilan terhadap pihak lain yang dituduh,” katanya.

Hakim lain yang bersidang bersama Tengku Maimun, adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Zabidin Mohd Diah.