PRU15: Laungan ‘Kita Boleh’ bergema di setiap PDM, rakyat Tuaran mahukan Anwar jadi PM

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pertambahan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dilihat kian memuncak.

Di Tuaran, keinginan perubahan tampuk kepimpinan negara jelas kelihatan apabila ramai yang mulai ‘bertukar baju’ dan menyokong pasukan berjersi merah.

Aura kebangkitan suara rakyat diperlihatkan dalam setiap kempen calon PH, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius apabila mendapat sambutan luar jangka  di setiap lokaliti dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Kehadiran lebih 200 orang di Mengkabong,  lebih 300 di Cawangan Loputung dan menghampiri 500 orang di PDM Rungus Tamparuli menjadi bukti keinginan rakyat mahukan perubahan tampuk pemerintahan yang bersih dari rasuah dan salah guna kuasa.

Laungan slogan ‘Kita Boleh’ terus bergema menunjukkan komitmen untuk menterjemahkan kebangkitan kepada kertas undi di setiap peti undian pada 19 November nanti.

Pengundi-pengundi muda juga sudah matang menilai dan dilihat memberi kepercayaan penuh terhadap kewibawaan Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri yang ke-10.

Anwar disifatkan individu yang tepat untuk memulihkan ekonomi negara yang semakin tenat berdasarkan pengiktirafan antarabangsa sebagai Menteri Kewangan Terbaik Dunia pada 1993 dan Menteri Kewangan Terbaik Asia pada tahun 1996.

Bahang kebangkitan ini semakin membara apabila Cawangan UMNO Tambalang secara rasminya terbubar selepas Ketuanya Norzan Maduin bersama seluruh ahlinya mengisytihar menyokong PH malam tadi.

Turut menyatakan sokongan kepada PH, Ketua Pejuang Muda P170 Tuaran merangkap Pengerusi Tetap Pejuang Muda Negeri Sabah, Awang Salamat Eton, Ketua Penyelaras Pejuang Muda DUN Sulaman merangkap Exco Ekonomi Dan Pembangunan Modal Insan, Syarunizam Hj Ibrahim.

Ia disemarakkan lagi dengan kemasukan Ketua Penyelaras Pejuang Muda DUN Pantai Dalit, Affendy Lim dan  Ketua Anak Muda Penimbawan merangkap  Ketua Anak Muda Warisan, Juaniddy Selidan, serta penyertaan NGO BIGAT COCOS.

Enggan mendabik dada, Madius memberitahu PH adalah parti ‘underdog’ pada PRU15 memandangkan keempat-empat DUN dalam Parlimen Tuaran disandang masing-masing dua menteri penuh dan pembantu menteri termasuk Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kewangan.

Walau bagaimanapun, pemerhati politik tempatan menjangkakan lebih ramai pengundi atas pagar akan berpihak kepada PH untuk menyokong kepimpinan Anwar demi kestabilan dan kesejahteraan negara.

Setiap pangkahan mengubah destini. Kuasa rakyat kini di hujung jari. Tersalah pilih ‘sakit’ menanti, pastikan mengundi 19 November ini.