Saya maafkan Jo-Anna, dia tidak tahu sebab belum keliling jumpa rakyat Tuaran: Madius

TUARAN: Calon Pakatan Harapan P170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mengambil pendekatan mesra terhadap calon-calon lain yang cuba membuat provokasi terhadapnya.

Terbaru, beliau  hanya tersenyum bila diminta mengulas dakwaan calon Warisan Jo-Anna Sue Henley Rampas yang kononnya Madius menggunakan peruntukkan pusat  untuk kegunaan peribadi.

“Itu satu dakwaan yang berat. Sebagai seorang wanita dewasa dan matang, sepatutnya beliau faham sesuatu tuduhan tanpa asas yang kukuh dan sahih boleh menyebabkan beliau dikenakan tindakan undang-undang.

“Tetapi saya maafkan dia. Mungkin dia tidak tahu apa yang dia katakan sebab dia baru dalam proses berjumpa dengan rakyat Tuaran. Belum sempat dia masuk semua kawasan, dan saya maafkan dia,” jawab Madius ketika ditemui pada kempen PH di PDM Tuaran Bandar, di sini,  hari ini.

Beliau menambah, pihak-pihak yang masih merasa ragu boleh juga bertanya dengan rumah-rumah ibadat, kampung-kampung di sekitar Tuaran dan calon-calon pelajar SPM 2021.

“Antaranya, kita menaja e-tuisyen untuk semua calon pelajar yang menduduki Peperiksaan SPM pada 2021 melibatkan peruntukkan sebanyak RM300,000.

“Beberapa projek ‘Ram-Pump’ turut dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah-masalah bekalan air di beberapa kampung. Pada Khamis ini (esok), saya akan rasmikan salah satu projek tersebut di Pekan Nabalu bernilai lebih RM40,000.

“Ini belum termasuk sumbangan-sumbangan kebajikan kepada rakyat Tuaran yang dilanda musibah. Jangan risau, kerja-kerja ini banyak disiarkan di facebook, kita akan cuba tag dia (Jo-Anna) nanti,” katanya dengan senyuman ikhlas.

Madius turut menegaskan, PRU15 pada kali ini adalah bertujuan menyelamatkan Malaysia daripada krisis ekonomi, kepimpinan dan salah guna kuasa.

“Kita selamatkan negara daripada pemimpin-pemimpin yang mengamalkan salah guna kuasa dengan mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10,” katanya.