PTI PUTIH MATA APABILA DIBERKAS PPM SELEPAS BARU MENDARAT DI TAWAU

TAWAU : Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya memberkas empat warga asing yang cuba masuk secara haram ke daerah ini.

Dalam Ops Gelora Khas di kawasan persisir pantai Kampung Tawau lama kira-kira jam 7.30 malam itu, anggota PPM menerima maklumat dan risikan berkaitan kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) di lokasi tersebut.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Polis Mohd Nazari Ismail berkata, atas maklumat tersebut, sepasukan anggota PPM bertindak melakukan serbuan terhadap kesemua PTI yang disyaki baru mendarat di kampung berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota PPM mendapati terdapat tiga lelaki berumur 31 hingga 41 tahun dan seorang wanita, 29, bersembunyi di dalam semak dipercayai sedang menunggu pengangkutan untuk ke lokasi seterusnya.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan memasuki perairan negara melalui laluan tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan tidak lebih daripada 6 kali sebatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *