PUSAT KARAOKE ‘DEGIL’ DISERBU LAGI

PENAMPANG: Sebuah pusat karaoke di Towering, dekat sini, yang pernah diserbu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini sekali lagi ‘buat hal’ apabila didapati menjalankan operasinya meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa.

Tindakan degil itu bagaimanpun membawa padah apabila polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang sekali lagi menyerbu premis berkenaan dan menahan seramai 10 individu termasuk empat wanita, jam 12.05 tengah malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ketika sepasukan polis IPD Penampang menjalankan tugas rondaan pemantauan PKPB terdengar bunyi bising dari sebuah premis.

“Pasukan polis kemudian bertindak menyerbu premis berkenaan dan menahan enam lelaki dan empat wanita yang sedang berhibur di dalam premis itu bersama muzik yang dimainkan dengan kuat.

“Semua mereka berusia 18 hingga 37 ditahan dan dibawa ke IPD Penampang kerana ingkar PKPB Covid-19 yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pusat karaoke berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan.

“Sebelum ini, pusat karaoke itu juga pernah diserbu pada 7 April lalu kerana ingkar PKP dan penjaga premis serta tiga pengunjung ditahan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam 1958 iaitu menjalankan operasi premis hiburan tanpa lesen dan Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 iaitu aktiviti terlarang termasuk perniagaan restoran di dalam pusat hiburan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *