TUARAN: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran dan Jabatan Kesihatan Tuaran akan bersama-sama dalam menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan penduduk di sini.
Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, kerjasama itu akan dilaksanakan melalui penyediaan perkhidmatan kaunseling yang berfokus.
“Dalam pertemuan bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Tuaran baru-baru ini kita telah sebulat suara untuk menjayakan inisiatif ini demi kesejahteraan bersama masyarakat.
“Langkah ini amat bertepatan memandangkan Jabatan Kesihatan Tuaran juga mempunyai pegawai psikologi yang berperanan memberikan kaunseling kepada individu yang memerlukan,” katanya.
Madius berkata demikian dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Madius, usaha itu penting kerana sejak kebelakangan ini, pusat khidmat menerima aduan terdapat kes penduduk yang mengalami masalah kesihatan mental.
“Ada antara mereka yang hingga sanggup mengambil keputusan drastik seperti memencilkan diri dan malah ada yang membakar rumah sendiri.
“Sebenarnya mereka ini memerlukan sokongan dan bimbingan daripada pakar,” katanya.
Tambahnya, kerjasama itu akan melibatkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran akan mengenalpasti individu yang menunjukkan simptom masalah kesihatan mental.
“Sementara pihak Jabatan Kesihatan Tuaran akan menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang diperlukan.
“Ini adalah langkah penting untuk memberikan sokongan kepada masyarakat selain berfungsi sebagai intervensi awal kepada individu yang memerlukan, sekaligus mengurangkan risiko kejadian yang lebih serius.
“Banyak lagi inisiatif kerjasama yang akan dilaksanakan dengan lebih erat selepas ini, demi memastikan masyarakat Tuaran mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh dan berkualiti,” kata Madius.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ