Madius dan warga PIBG SK Mantob gotong royong basmi denggi

KIULU: Usaha memupuk kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan perlu diperkukuh melalui kolaborasi antara pelajar, ibu bapa, dan sekolah.

Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, ia termasuk dalam meningkatkan lagi rasa tanggungjawab terhadap kebersihan dan kesihatan persekitaran.

“Usaha seperti ini boleh memberi impak besar dalam kehidupan seharian kita.

“Dengan melibatkan semua pihak, kita dapat membina budaya kebersihan yang kukuh dan berterusan,” katanya.

Madius berkata demikian ketika berucap merasmikan Gotong-Royong Basmi Denggi di Sekolah Kebangsaan Mantob, di sini.

Program tersebut merupakan anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Unit Hal Ehwal Murid Sekolah SK Mantob.

Madius turut menyuarakan harapan agar inisiatif seperti itu dapat diteruskan dan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain di daerah Tuaran.

“Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab semua pihak.

“Dengan melibatkan komuniti secara aktif, kita boleh mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan selamat untuk generasi akan datang.

“Ini adalah tanggungjawab bersama yang harus dipikul dengan penuh kesungguhan dan komitmen,” katanya.

Selain aktiviti pembersihan, program tersebut turut diisi gotong royong menaik taraf gelanggang bola tampar yang merupakan kemudahan sukan penting di sekolah berkenaan.