Rakan Umno PRN Sabah ditentu usai DUN bubar, kata Zahid

KOTA BELUD: Rakan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Umno pada PRN Sabah akan ditentukan selepas DUN bubar, kata Zahid Hamidi.

Pengerusi BN yang juga presiden Umno berkata, parti itu sedia berkolaborasi dengan mana-mana parti asalkan mampu bermuafakat dalam menjaga kesejahteraan rakyat Sabah dan negara ini secara keseluruhannya.

“Kita punya pendirian politik ini pragmatik dan jalinan kerjasama (pada PRN Sabah) boleh dilakukan dengan mana-mana parti politik, yang penting kerajaan ditubuhkan mendapat dukungan majoriti rakyat.

“Dalam perkara ini, kepentingan utama (adalah untuk) kukuhkan kerajaan perpaduan, sama ada di peringkat nasional atau negeri, semangat itu harus ada,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick yang juga Adun Kadamaian.

Sementara itu, timbalan perdana menteri menjelaskan tiada pergolakan politik berlaku di Sabah dan keberadaan beliau di negeri ini bagi menghadiri majlis hari ini.

Menurutnya, pertemuan dengan pemimpin politik dan rakan pemimpin lain di negeri ini malam tadi sebaliknya bertujuan mengemas kini kerja-kerja terutama melibatkan penyusunan jentera BN dan Umno dalam mendepani PRN Sabah nanti.

“Saya tolak dakwaan terdapat kemelut politik di Sabah…kita bertemu bersiap siaga, khususnya PRN Sabah walaupun berlaku selewat-lewatnya (tamat tempoh penggal) akhir tahun depan, tidak salah kita bersiap-siaga mulai sekarang.

“Jangan ada mana-mana pihak pula buat analisis atau apa-apa spekulasi sesuatu sedang berlaku di Sabah ini. Kita tumpu kerja kita dulu,” katanya.

Beliau berkata dalam mendepani PRN Sabah juga, BN dan Umno Sabah mempunyai autonomi sendiri untuk memutuskan perkara-perkara, antaranya calon mewakili parti serta calon disokong sebagai ketua menteri, yang mana perkara itu perlu dimaklumkan kepada pengerusi BN.