REKOD BARU 21 KEMATIAN, 3,455 KES BARU COVID-19

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 3,455 kes baharu Covid-19 dan 21 kematian, yang merupakan angka korban tertinggi setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 3,450 adalah penularan tempatan manakala lima jangkitan di luar negara.

Beliau berkata daripada jumlah penularan tempatan itu, 2,068 adalah warganegara dan 1,382 bukan warganegara.

Selangor terus merekodkan kes positif tertinggi dengan 1,145 diikuti Johor (708) dan Kuala Lumpur (619).

Ketika ini, seramai 47,847 sedang dirawat, dengan 327 di unit rawatan rapi (ICU) dan 145 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dengan itu, jumlah jangkitan Covid-19 direkodkan dalam negara kini 222,628 kes.

Hisham berkata, dengan pertambahan kes kematian, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 791.

“Daripada 21 jumlah kematian, 20 merupakan melibatkan warganegara dan satu bukan warganegara,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 3,661 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya 173,990.