Remaja dicekup jemaah ketika cuba pecah tabung masjid

TAWAU: Tindakan seorang remaja lelaki mencuri wang daripada tabung masjid di Bandar Sri Indah, di sini tidak berhasil apabila dia ditahan, semalam.

Perbuatan lelaki berusia 15 tahun itu berjaya dikesan selepas seorang jemaah masjid melihat remaja terbabit sedang mengorek tabung masjid menggunakan skru.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, melihat kejadian itu, ahli jemaah terbabit meminta bantuan kepada ahli-ahli jemaah yang lain untuk membantu menangkap suspek.

“Suspek berjaya ditahan dan anggota polis yang sedang bertugas Ronda Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Bandar Sri Indah bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan berkenaan perkara itu.

“Suspek bersama barang rampasan berupa wang tunai disyaki hasil curi dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh didenda atau dipenjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun atau sebat. – Info X