TAWAU: Tiga rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Muhibbah Raya, Lorong Muhibbah 6, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.18 petang.
“Kebakaran membabitkan tiga rumah kediaman iaitu dua musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 70 peratus.
“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan dengan sumber air dari jentera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi terkawal pada jam 5.56 petang dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.
“Pemadaman masih dijalankan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Operasi pemadaman dijalankan 19 anggota termasuk pegawai bersama dua jentera dan water tanker serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ