KOTA MARUDU: Seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan aktiviti memanah ikan di sungai Kampung Minansad, di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 15 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat renjatan elektrik daripada kabel elektrik putus yang terkena air berdekatan lokasinya memanah ikan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, hasil siasatan mendapati bapa mangsa dimaklumkan anaknya bersama tiga rakannya pergi memanah ikan di sungai berkenaan, kira-kira jam 7 malam.
“Jarak antara rumah mangsa dengan sungai kira-kira satu kilometer. Sejam selepas itu salah seorang rakannya datang ke rumah mangsa dan memberitahu mangsa terkena renjatan elektrik ketika berada di dalam sungai.
“Bapa mangsa kemudian bergegas ke lokasi kejadikan dan mendapati mangsa berada di dalam sungai dalam keadaan kabel elektrik berada di tangannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui apa-apa kesan jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.
“Mangsa kemudian dibawa naik ke daratan oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Kota Marudu.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk tujuan pemeriksaan lanjut,” katanya.
Tambah beliau lagi, kes diklasifikasiksn sebagai laporan mati mengejut (SDR). – Info X
More Stories
Jenazah Tun Ahmadshah selamat dikebumikan
Barang Kosmetik Seludup Dirampas
Wanita Dakwa Ditukar Agama Kepada Islam Tanpa Izin, Sindiket Libatkan Ahli Keluarga Dalam Politik?